
Bismillahirrahmanirrahim…
Ramadhan ; tidak mahu dibiar berlalu begitu sahaja. Sudah cukup waktu yg sudah dirugikan dan bakal dirugikan. Kugagahkan diri capai kitab Tafsir Fi Zilalil Quran pemberian abah dan menyambung topik kupasan kata-kata Yang Maha Menciptakan. (Al-Khaliq)
MENEGAKKAN KEADILAN TERHADAP SEMUA ORANG
Bukanlah tujuan menulis merakam teori semata namun lebih kepada muhasabah buat diri dan setiap indidvidu yang membaca bingkisan.
Berlaku adil bukanlah mudah. Malah kadang kala tersepit perlu membuat pilihan antara keadilan terhadap diri atau orang lain. Pada ketika itu keputusan tuntas perlu dibuat agar tidak kesal dikemudian hari – malah yang lebih penting misi meraih redha Allah.
Surah An-Nisa ayat 35;
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.”
Inilah manhaj Allah- Allah pesan kita untuk berlaku adil –memberi hak kepada yang punya hak- untuk muslim dan nonmuslim. Lepas dari segala keinginan, kepentingan dan anggapan. Dalam ayat ini, Allah menyuruh jiwa/ manusia untuk adil terutama terhadap 2 perkara;
1- Ketika menjadi saksi /menghadapi diri dan perasaanya sendiri
2- Ketika menjadi saksi/ menghadapai orang tua dan kerabatnya
Sayyid Quthb menulis 2 keadaan ini ditekankan Allah merupakan keadaan yang sering terjadi dan sukar untuk kita berlaku adil. Sebagai contoh, sekiranya kita menjadi saksi atau mengadili ahli keluarga yang miskin, maka timbul perasaan kasih sayang – lalu akan timbul rasa untuk memberi kesaksian yang menguntungkannya walaupun kesaksian itu tidak benar. Atau, adakalanya kemiskinan orang yang dijadikan saksi ke atasnya mendorong untuk memberatkan nya kerana sistem social kini, maka kita pun memberatkannya.
Namun, bagi kes apabila kita menghadapi orang kaya, sistem sosial yang mencorak kita untuk berbaik-baik dengannya, maka akan kita ringankan keadaanya. Atau mungkin juga atas dasar berdendam dengan orang kaya itu tadi yang sering sombong menyebabkan kita memberatinya dengan memberi kesaksian palsu.
Ini seiring dengan ayat “ Jika ia kaya atau miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya…”. Begitulah, kita hanya mampu menilai dari sudut pandang manusia yang sempit. Namun, Allah mengajar untuk berlaku adil dengan mendidik manusia bahawa Allah lebih mengetahui keadaan sebenar bagi setiap makhluknya.
Kisah Tauladan
Diceritakan bahawa Abdullah bin Rawahah r.a ketika diutus Rasuullah s.a.w untuk menimbang hasil buah-buahan dan tanaman penduduk Khaibar untuk pembahagian hasil sesuai dengan perjanjian Rasulullah saw setelah pembebasan tanah Khaibar. Orang-orang Yahudi cuba menyuap Abdullah bin Rawahah supaya mengasihani mereka. Maka, berkata Abdullah kepada mereka, “Demi Allah, aku datang kepadamu dari sisi makhluk yang paling aku cintai dan sesungguhnya kamu, adalah orang yang lebih aku benci daripada kera dan babi. Tidaklah kecintaanku kepada beliau dan kebencianku kepadamu dapat menjadikan aku berlaku tidak adil antara kamu. Maka, mereka berkata, “Dengan begini, nescaya akan tegaklah langit dan bumi.”
Sayyid Quth turut memaklumkan Abdullah bin Rawahah r.a ialah tamatan madrasah Rasulullah saw yang telah mendidik beliau dengan manhaj Allah/ method Rabbani yang mampu menegakkan keadilan dengan sebenar-benarnya.
Ruh disebalik
Pengakhirannya, Sayyid Quthb menidakkan untuk kita menafikan segala teori makna keadilan dan perlaksanaan berdasarkan ilmu/ kajian manusia. Akan tetapi, kita harus mengerti bahawa nilai keadilan tidak hanya semata-mata terletak pada peraturan atas kertas/buku. Namun, yang lebih penting ialah ruh/ spirit yang ada disebaliknya walau dalam apa keadaan apa pun. Bersaksilah kerana Allah.
Kedengarannya jauh buat diri. Sulit sekali. Namun harus diusahakan. Dimuhasabah. Membaca ini hari ini, aku sesal dengan keputusan yang pernah dibuat. Alhamdulillah adanya hari ini untuk Allah mendidikku. Semoga diberi hidayah dalam setiap keputusan dibuat dalam hidup dan terus mengharap pengampunan Allah atas diri yang tidak mampu kerana mendidik diri itu sukar sekali.