
Pemandangan gelap malam melalui tingkap kapal terbang bagai selari dengan rasa yang mengalir perlahan dalam hatiku. Selamat tinggal kuala lumpur, lebih tepat lagi selamat tinggal buat suamiku, moga ada kesempatan pertemuan bulan depan. Pertemuan singkat 3-4 hari sebulan merupakan masa yang amat berharga bagi kami, kualiti masa diberi perhatian memandangkan pupus kuantiti masa dalam kamus hidup pasangan yang dipisahkan atas nama tuntutan alam pekerjaan hari ini.
Atas asbab kontrak kerajaan, aku terpaksa akur dengan ketetapan yang menuntut aku berjauhan dengan suami. Bagai halilintar menerjah aku terkesima sementelah menelan pahitnya berita. Sememangnya ada madu disebalik pahit hempedu yang ketika ini aku masih cuba memahami, yakin.
Memahami bagaimana untuk ‘menyingkap’ perihal pasangan suami isteri berjauhan kini, ilmu melalui sedikit pembacaan beserta gerak hati menuntunku mengambil jalan ‘menyikapi’ perkara ini demi pedoman masa hadapan. Untuk itu, kupetik tulisan Khalid Baig, First thing first sebagai salah satu sudut pandang.
Kesimpulan dari diriku, tidak kira apa pun keputusan yang diambil wanita pada hari ini atas nama apa pun, setiap kita perlu ada mindset ‘family first’. Apabila keadaan meletakkan keluarga atau lebih tepat lagi anak dalam keadaan berisiko, tindakan pantas, keputusan tekad perlu dibuat kerana wanita itu dipertanggungjawabkan atas rumah suaminya dan anak-anak suaminya. Nah, wanita islam punya panduan. Jangan gagal mengambil ubat sebenar yang berada di depan mata dek tergoda dengan jiran sebelah yang tampak sihat luaran sedangkan dalamnya menderita nanah akibat kesilapan mengambil ubat yang salah.
Buat yang mempunyai suami disisi, ambil masa memahami, memberi, dan menyayangi. Biar masa gelombang bah datang sementara, rasional iman mampu membenteng emosi. Genggam erat yang manis, yang baik, yang penyabar, yang selalu membimbing, yang melindungi itu atas pinjaman barakah dari yang RAHMAN dan RAHIMNYA ALLAH.
No comments:
Post a Comment